Thursday, 23 January 2014

Tips : 6 Cara Buat Duit Di Internet



Berikut adalah tips dan cara-cara yang boleh anda lakukan untuk mula menjana wang di internet :


Cara 1 : Hasilkan Produk Info Berdasarkan Ilmu & Kemahiran Anda


Apakah kemahiran anda sekarang? Mungkin sahaja anda merupakan seorang tukang masak di sebuah restoren. Kepakaran anda adalah dalam bidang masakan. Maka, anda boleh hasilkan sebuah buku resepi  atau panduan memasak dalam bentuk ebook atau rakaman DVD.  Anda boleh menjualnya di internet.

Tahukah anda bahawa topik masakan antara topik yang amat popular di internet? Produk info tidak memerlukan kos yang besar untuk dihasilkan. Modal utamanya adalah ilmu dan pengalaman anda. Apa yang perlu anda lakukan, hanya kumpul serta susun idea dan pengalaman anda itu dengan menuliskannya di dalam microsoft word, kemudian, tukarkan ia ke dalam format pdf. Kini anda sudah ada satu produk yang boleh anda jual di internet.


Cara 2 :  Menjual Produk Tempatan Menerusi Internet


Jika anda tidak mempunyai idea untuk menghasilkan ebook, cara lain adalah dengan mencari produk-produk yang mudah di dapati di tempat anda tinggal, tetapi sukar untuk diperolehi di tempat lain. Contohnya, jika anda merupakan seseorang yang tinggal di Pulau Langkawi, anda mungkin boleh menjual coklat yang stoknya terdapat di Pulau Langkawi seperti coklat Daim. Saya pernah terjumpa, ada seorang penjual di internet yang menjual koleksi “coklat Langkawi” di internet. Beliau membeli coklat dengan harga pembekal dan menjualnya semula di internet.

Saya juga pernah melihat penjual yang menjual mee siput dan perencah mee bandung yang amat popular dari  Muar. Penjual tikar dan kek lapis  dari sarawak. Penjual kain batik. songket dan sutera dari terengganu. Penjual kelambu dan tilam toto dari perlis. Dan banyak lagi, mereka ini menggunakan peluang dengan memasarkan produk yang popular di tempat tinggal mereka ke seluruh Malaysia menerusi internet.  

Cara 3: Menjual Produk Orang Lain (Affiliate)


Ini juga antara alternatif yang mudah untuk anda mula menjana pendapatan di internet. Jika anda tiada idea untuk buat ebook, tiada produk tempatan yang istimewa untuk dijual, maka mungkin anda boleh membantu orang lain menjualkan produk mereka dan memperolehi komisen daripada hasil jualan tersebut. Model bisnes sebegini disebut affiliate.
Sebagai contoh, jika si A menjual ebook “Bagaimana Untuk Mengurangkan Berat Badan” , maka anda boleh mendaftar menjadi ejen di website beliau dan seterusnya, membantu beliau membuat pemasaran.

Katakanlah, ebook tersebut dijual dengan harga RM 60.00 dan penulis bersetuju untuk membahagikan keuntungan 50%-50%, ini bermakna untuk satu jualan ebook, anda akan dibayar sebanyak RM30.00. Jika anda berjaya menjual ebook tersebut kepada 100 individu di internet ,maka anda akan dibayar sebanyak RM3,000.
Banyak kelebihan apabila melakukan bisnes affiliate. Antaranya , anda tidak perlu pening kepala untuk memberi support selepas jualan kerana ia akan diberikan oleh pemilik produk tersebut. Tugas anda hanya mempromosi link affiliate anda kepada orang ramai agar membeli dari link anda.  Anda biasanya hanya akan menerima emel makluman tentang jualan yang terhasil sahaja. Selebihnya, ia akan diuruskan oleh pemilik produk.

Cara 4: Menjual Produk Fizikal Tanpa Memegang Stok (Dropship)


Jika dahulu, ramai yang terpaksa menangguhkan minat mereka untuk berniaga kerana tiada modal untuk mengambil stok produk untuk diniagakan, tetapi, pada hari ini, satu model bisnes baru telah wujud yang membolehkan usahawan baru agar memulakan perniagaan mereka tanpa perlu menyimpan sebarang stok produk. Ianya dipanggil bisnes dropship.

Melalui model bisnes ini, anda sebagai penjual tidak perlu membeli dan menyimpan stok produk dan tidak perlu menghantar produk kepada pelanggan , kerana, semua itu akan dilakukan  oleh pihak pembekal. Sebagai contoh, anda jumpa pembekal produk al-quran digital dari syarikat A. Syarikat A menawarkan anda dengan harga pembekal serendah RM150, manakala, harga pasaran pula bernilai RM250. Ini bermaksud untuk satu unit al-quran digital, anda  boleh mendapat untung sebanyak RM100!

Apa yang perlu anda lakukan ialah dapatkan gambar produk yang jelas, cantik , menarik dan dapatkan butiran lengkap produk. Berbekalkan maklumat itu, anda promosikan produk tersebut di facebook, twitter, instagram dan lain-lain medium. Nyatakan harga  jualan dan minta pembeli membuat bayaran ke akaun bank anda. Selepas menerima bayaran dari pembeli, anda hanya perlu membuat bayaran pula kepada pembekal mengikut harga pembekal dan maklumkan kepada pembekal tentang maklumat pembeli seperti nama, alamat dan nombor telefon. Pihak pembekal pula akan terus menghantar produk tersebut kepada pembeli dengan segera. Anda sebenarnya hanya akan bertindak seperti orang tengah. Cuma, apa yang lebih menarik, urusan penghantaran produk akan dilakukan oleh pihak penjual. Menarik bukan?

Cara 5: Membina Blog Berinformasi.


Jika anda gemar menulis, maka cara ini adalah sesuai buat anda. Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang pramugari dan pada masa yang sama anda gemar untuk menulis di blog anda ketika waktu cuti, anda boleh berkongsi pengalaman kerjaya anda di blog anda. Topik travel dan karier dunia penerbangan antara topik hot di internet yang tidak pernah kurang permintaannya. 

Blog yang ditulis oleh pengalaman peribadi seseorang biasanya bakal mendapat sambutan yang tinggi. Apabila blog anda mempunyai pelawat yang konsisten, anda boleh menggunakan kesempatan ini untuk menjana wang dengan meletakkan iklan di ruangan blog anda. Pilihan yang anda boleh sertai ialah:
  1. Menyertai google adsense. Kita akan bincangkan topik ini dengan lebih detail dalam artikel yang akan datang.
  2. Nuffnang
  3. Memasang banner
Jika anda mengemaskini blog secara konsisten, dan mampu menarik ramai pembaca, anda berpeluang untuk menjana lebih banyak wang melalui blog anda.

Cara 6: Menjual Servis Di Internet


Servis dilihat kepada bentuk perkhidmatan. Sebagai contoh jika anda merupakan seorang yang mahir dalam perakaunan, anda boleh menawarkan servis untuk membuat semakan penyata syarikat untuk peniaga kecil online. Saya pernah melihat seorang pelajar universiti membuat wang melalui internet dengan menawarkan servis memeriksa ayat bahasa inggeris. Orang ramai hanya perlu menghantar artikel kepada beliau untuk membuat semakan dan pelanggan akan mendapat hasil artikel yang lebih baik kerana servis yang ditawarkan ialah berkaitan dengan jurusan bahasa inggeris di peringkat lebih tinggi.

Pelajar itu tidak melakukan servis itu, beliau hanya memberi tumpuan dalam soal pemasaran dan mencari pelanggan namun yang melakukan semua kerja tersebut ialah pensyarah beliau dari fakulti bahasa. Mereka bersetuju untuk membuat servis itu bersama-sama. Agak geliga juga jika dilihat kepada cara pelajar tersebut membangunkan perniagaan online beliau.
Antara kemahiran yang boleh anda tawarkan sebagai servis adalah seperti kemahiran membina website, mengemaskini facebook, merekabentuk logo, menulis artikel dan bermacam lagi.

Nah! Kini anda sudah mengetahui  6 cara untuk mula buat duit melalui internet. Anda perlu teliti semula, cara yang mana satukah sesuai dengan diri anda. Usah tamak dengan cuba melakukan semuanya dalam satu masa.
Pilih satu cara dahulu, kemudian dapatkan lebih banyak ilmu mengenainya, take action dan berikan tempoh dalam 4-6 bulan untuk lihat hasilnya.

No comments:

Post a Comment